Free Web Hosting Provider - Web Hosting - E-commerce - High Speed Internet - Free Web Page
Search the Web

PENGLIBATAN UMAT ISLAM DALAM DUNIA TEKNOLOGI MAKLUMAT.
Oleh : R. Fariz R. Alias


Perkembangan teknologi maklumat(IT) sering diperkatakan di dunia hari ini. Isu-isu yang berkaitan dengan teknologi maklumat sering ditonjolkan melalui media massa. Apa sahaja isu yang diketengahkan pastinya cuba dikaitkan dengan IT seperti globalisasi, ekonomi, peradaban manusia, pendidikan dan kemasyarakatan. Malah di Malaysia sendiri tidak kurang hebatnya. Penglibatan Malaysia dalam dunia teknologi maklumat mula ketara dengan kewujudan Multimedia Super Corridor(MSC). Syarikat-syarikat swasta menawarkan perkhidmatan yang berunsurkan IT tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Terma-terma komputer (jargon) sering dipaparkan di dada-dada akhbar. Sehinggakan di dalam masjid juga masih kedengaran perkataan seperti internet, cybercafe dan sebagainya.


Namun demikian, penglibatan umat Islam hari ini dalam dunia teknologi maklumat masih lagi di tahap minoriti. Pemahaman terhadap teknologi maklumat itu sendiri masih kabur di kalangan umat Islam. Sebenarnya kalau kita amati dengan teliti, maka kita akan dapati Islam adalah agama yang mementingkan penggunaan serta penyebaran maklumat. Maklumat merupakan ilmu di mana ilmu memainkan peranan yang penting dalam agama Islam. Terlalu banyak dalil naqli mengenai kepentingan ilmu di dalam Islam antaranya :


"…Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama’…"

(Surah Fatir 35:28)


"…Diangkat oleh Allah orang-orang yang beriman daripada kamu dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat…"

(Surah Mujadalah 58:11)


Manakala Imam Tirmidzi pernah meriwayatkan yang Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya :

"Kelebihan orang berilmu dari orang ‘abid (orang yang banyak beribadah) seperti kelebihanku dari orang yang paling rendah dari sahabatku"


Teknologi pula hanyalah satu kaedah atau pengkajian sains yang sifatnya memudahkan sesuatu. Umat Islam tidak seharunya menolak teknologi bahkan ia sepatutnya digunakan bagi tujuan pembangunan ummah. Penyampaian maklumat menjadi satu unsur penting dalam penyebaran dakwah Islamiah. Ramai masyarakat berpendapat bahawa arus teknologi terlalu sedikit memberi sumbangan terhadap pembangunan rohani. Maka atas sebab inilah mereka kurang melibatkan diri dalam dunia teknologi. Kefahaman terhadap konsep fardhu kifayyah masih kurang jelas dikalangan masyarakat Islam itu sendiri. Pada mereka cukuplah sekadar boleh menaip menggunakan komputer, bermain permainan video dan boleh ‘melayari’ (surf) dunia siber melalui internet sedangkan soal pembangunan perisisan, penyediaan bekalan bagi membina prasarana siber, rangkaian komputer, penyelidikan teknologi malah membaik pulih komputer sendiri pun masih dikuasai oleh bukan Islam.


Seorang hujjatul-Islam, Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam Al-Ghazali tidak setuju dengan orang yang hidup sezaman dengannya kerana pada ketika itu orang-orang merasa aib apabila mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang fiqh, dan pada masa yang sama meninggalkan fardhu kifayyah yang lain. Mereka tidak mempunyai doktor kecuali dikalangan ahli dzimmah (penduduk yang selain dari orang Islam dan menetap dalam negara Islam). Roh dan aurat mereka diserahkan kepada ahli dzimmah sehingga melanggar batasan syara’. Kalau kita amati contoh yang berlaku di zaman Al-Ghazali ini dengan sendirinya kita akan lihat situasi yang sama berlaku dalam dunia teknologi sekarang ini. Penguasaan teknologi subur dalam masyarakat bukan Islam baik dari timur hingga ke barat. Umat Islam hanya membincangkan keburukan yang ada pada teknologi tersebut yang sepatutnya kita (umat Islam) mesti terus bersaing dengan mereka bagi penguasaan dan penghasilan sesuatu teknologi. Seorang ulama’ besar masa kini Dr. Yusof Al-Qardhawi pernah menulis dalam kitabnya Fi Fiqh al-Awwlawiyat-Dirasat Jadidah fi Dow’il al-Quran wa as-Sunnah ketika beliau membicarakan soal Mana yang lebih afdal Penerapan Hukum Syariat atau Pendidikan dan Maklumat :


"Terjadi suatu perdebatan di sini bahawasanya kebanyakan orang yang aktif di bidang Islam – khususnya orang-orang yang sangat kuat keinginannya – memberikan penumpuan yang sangat besar terhadap persoalan yang mereka sebut ‘penerapan syariat Islam’. Mereka hanya memberikan perhatian kepada satu segi saja, iaitu penerapan hukum Islam, apatah lagi hukum hudud, qisas dan ta’zir.

Sesungguhnya tidak dapat diingkari lagi bahawa aktiviti tersebut merupakan salah satu bahagian daripada Islam, yang tidak boleh kita lalaikan, atau kita berpaling daripadanya.

Akan tetapi kalau kita sangat berlebihan memberikan perhatian kepadanya dan membicarakannya, serta menganggapnya sebagai perkara utama dan puncak tujuan kita, maka sesungguhnya hal ini akan membawa kesan yang buruk terhadap pemikiran Islam, amal Islami dan kesan yang tidak baik terhadap pemikiran manusia biasa. Keadaan seperti ini dapat dimanfaatkan oleh musuh-musuh Islam yang dapat membahayakan syariat dan dakwahnya. Saya selalu mengatakan : "Sesungguhnya hukum-hukum saja tidak akan dapat mencipta masyarakat dan tidak dapat mengembangkan umat. Sesungguhnya yang dapat membentuk masyarakat dan membangunkan umat adalah pendidikan dan pengajaran, kemudian hukum-hukum tersebut memberi perlindungan dan perisai kepadanya". Oleh sebab itu, kita mesti memberikan perhatian terhadap persoalan yang hakiki ini dari segi pemikiran dan tindakan. Kita harus membuat rencana pengembangan dan rancangan yang sesuai untuk mempersiapkan "Pendidikan Islam Yang Sempurna dan Moden" yang terus mengikuti perkembangan anak-anak Muslimin sejak dari buaian hingga mereka keluar universiti dengan mempergunakan kaedah yang sesuai, sistem yang menarik, audio visual aids, teknologi canggih, yang dapat mewujudkan pentingnya agama untuk kehidupan, dan menegaskan kesempurnaan Islam, keadilan hukum-hukumnya, keluarbiasaan kitab sucinya, kebesaran Rasul, keseimbangan peradaban dan kekukuhan umatnya."

 

Pandangan Qardhawi ini dengan jelas menyatakan umat Islam terdedah kepada penjajahan sekiranya kita masih lagi lena dengan perkembangan teknologi yang terus dikuasai bukan Islam.


Benar, tidak dapat dinafikan teknologi memang boleh membawa implikasi negatif terhadap sistem sosioekonomi, politik serta peradaban manusia. Di sinilah perlunya syariat dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan penguasaan dunia IT bagi mengelakan kebocoran maklumat yang tidak tepat, unsur-unsur penyelewengan aqidah, penentangan syariah Islam, penyebaran racun-racun orientalis dan propaganda Yahudi, perjudian secara online, pornografi dan sebagainya. Kesedaran sahaja tidak cukup bagi membenteras gejala-gejala negatif ini. Kalau dahulu kedengaran suara-suara penentangan terhadap teknologi Radio dan Televisyen yang akan membawa kepincangan terhadap jiwa serta rohani umat Islam, maka kini umat Islam sudah mula menerimanya malah ada juga yang berjaya menguasai bidang tersebut hingga teknologi radio dan televisyen digunakan sebagai alat penyebaran risalah agama tauhid ini. Sebagaimana salah satu terma yang digunakan dalam dunia teknologi, GIGO (Garbage In, Garbage Out), sekiranya sampah atau maklumat yang buruk yang kita masukkan maka sampahlah yang kita perolehi begitu juga sebaliknya.


Teknologi Maklumat boleh menjadi satu cara yang efektif untuk menyampaikan dakwah. Konsep dunia tanpa sempadan(bordeless world) menjadikan skop penyampaian maklumat lebih luas. Penyebaran fatwa boleh dilakukan secara cepat tanpa mengira faktor lokasi. Maklumat pencerobohan atau pencabulan wilayah Islamiyah boleh disampaikan dengan cepat. Strategi musuh boleh diketahui dengan lebih tepat serta pelbagai kemudahan yang lain.


Kesimpulannya, umat Islam harus memberi perhatian yang serious terhadap ilmu teknologi maklumat dan bukannya sekadar boleh menaip menggunakan komputer, melayari internet atau bermain permainan video sahaja malah ianya boleh diperluaskan lagi hingga ke tahap penyelidikan dan penghasilan teknologi itu sendiri tanpa perlu menggadaikan aqidah dan syariat Islamiyyah. Waallahu’alam.

Kembali Ke Pusat Pengumpulan Artikel...